Penduduk di kem pelarian Sudan alami kebuluran

kebuluran sudan

Penduduk berlindung di sebuah sekolah berhampiran bandar Gedaref pada 6 Mac lalu. – AFP

KHARTOUM – Beratus-ratus ribu penduduk sebuah kem pelarian di wilayah Darfur Utara, Sudan diisytiharkan mengalami kebuluran akut selepas berbulan-bulan negara itu dilanda perang, lapor saluran berita CNN kelmarin. 

Pengisytiharan itu diumumkan oleh organisasi keselamatan makanan, yang turut memberi amaran bahawa penduduk perlu ‘membayar harga yang tinggi’ selepas Sudan dilanda perang saudara selama 15 bulan. 

Menurut Jawatankuasa Kajian Kebuluran (FRC) yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kebuluran berterusan berlaku di kem pelarian Zamzam berhampiran bandar El Fasher sejak Jun lepas. 

“Populasi penduduk di kem pelarian meningkat mendadak kepada kira-kira setengah juta orang sejak bermulanya konflik,” kata FRC. 

Pengisytiharan rasmi kebuluran sangat jarang berlaku dan ia dikeluarkan sebagai seruan jelas untuk meraih lebih banyak dana daripada masyarakat antarabangsa, bagi mengelakkan kematian berlebihan. 

Laporan itu juga memberi amaran bahawa banyak kawasan lain di seluruh Sudan berisiko mengalami kebuluran selagi konflik dan akses kemanusiaan terhad berterusan.

Pasukan Tindak Balas Pantas (RSF) mengepung bandar El Fasher, ibu kota Darfur Utara selama berbulan-bulan. 

Dalam serangan pasukan separa tentera tersebut di bandar itu kelmarin, sekurang-kurangnya 23 orang terbunuh, kata aktivis.

Jawatankuasa Penentangan El-Fasher berkata dalam satu kenyataan di laman Facebook bahawa ‘pengeboman yang disengajakan’ oleh pasukan separa tentera mengakibatkan 23 orang mati dengan kesemuanya orang awam, manakala 60 lagi cedera. – AFP/AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *