LONDON – Seorang pencuri membantu menyidai pakaian seorang wanita, meninggalkan segelas minuman dan menulis nota kepada mangsa selepas memecah masuk ke rumahnya, lapor portal berita Metro UK semalam.
Damian Wojnilowicz, 36, memecah masuk rumah mangsa di Monmouthshire, Britain selepas wanita tersebut keluar bekerja.
Lelaki itu memasak makanan dan menyidai pakaian selepas membasuhnya, selain turut mengemas rumah mangsa.
Dia kemudian menulis nota yang tertera ayat berbunyi: “Jangan risau, bergembiralah.”
Pendakwa raya, Alice Sykes berkata: “Ini adalah pecah masuk rumah yang sangat luar biasa. Mangsa diberitahu oleh jirannya bahawa dia melihat seseorang menyidai pakaian.”
Ketika sesi perbicaraan, Mahkamah Diraja Cardiff turut diberitahu bahawa tertuduh turut membersihkan lantai, mengosongkan tong kitar semula, menyimpan dan menyusun semula barangan rumah sebelum melarikan diri.
Tertuduh yang mengaku bersalah melakukan dua rompakan, dihukum penjara 22 bulan. – AGENSI