BANGKOK – Sekumpulan pemuda dan aktivis Muslim Thailand melancarkan kempen baharu kelmarin berhubung peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Tak Bai, wilayah Narathiwat yang berlaku 20 tahun lalu, lapor portal berita PBS Thai.
Mereka mengayuh basikal di sepanjang jalan dilalui oleh 78 penunjuk perasaan yang dihumban ke dalam beberapa buah trak dari Narathiwat menuju ke pangkalan tentera Ingkayuth, Pattani untuk ditahan pada Oktober 2004.
Kesemua mangsa meninggal dunia akibat sesak nafas sepanjang perjalanan sejauh 145 kilometer tersebut.
Kempen itu bertujuan untuk mencari ‘oksigen’ sebagai simbolik bagi memperingati mangsa, manakala sebilangan warga Malaysia turut menyertainya.
Kes itu mencapai status tamat tempoh hari ini dan akan digugurkan dengan semua defendan dijangka kekal bebas. Ini kerana tiada seorang pun daripada mereka menyerah diri atau ditangkap.
Seorang aktivis berkata, dia tidak menaruh harapan mana-mana defendan akan ditangkap, menyerah diri atau dihadapkan ke muka keadilan.
Dia bimbang perkembangan itu akan menimbulkan kemarahan dalam kalangan umat Islam Thailand dan keluarga mangsa.
Sementara itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Thailand (NHRCT) mengeluarkan kenyataan mengkritik kerajaan Bangkok kerana gagal membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Insiden itu berlaku sejurus selepas pemberontakan pemisah Islam meletus di wilayah Narathiwat, Pattani dan Yala.
Pada 25 Oktober 2004, ribuan penunjuk perasaan berkumpul di balai polis daerah Tak Bai untuk menuntut pembebasan enam lelaki Islam yang ditahan. – AGENSI