Peminat ‘treasure hunt’ dicabar cari peti harta karun 

harta karun

Gambar menunjukkan Jon Collins-Black. – Business Insider

WASHINGTON – Seorang usahawan dan pelabur mata wang kripto menganjurkan pertandingan pencarian harta karun (treasure hunt) untuk lima peti berbeza yang mengandungi pelbagai barangan berharga dengan nilai sekitar AS$2 juta (RM9 juta), lapor laman berita Oddity Central semalam.

Penulis buku There’s Treasure Inside, Jon Collins-Black berkata, dia menghabiskan kira-kira lima tahun untuk merancang dan memperoleh koleksi berharga untuk cabaran tersebut. 

“Lima peti harta karun itu disembunyikan di lokasi yang tidak didedahkan di seluruh Amerika Syarikat (AS). 

“Hanya saya seorang yang mengetahui keberadaan peti itu, tidak ada guna sekiranya anda menyoal ahli keluarga atau rakan-rakan saya tentang petunjuk lokasi,” katanya. 

Menurutnya, pemburu yang mahu menemui harta karun itu boleh mencari petunjuk dari dalam buku yang ditulisnya sendiri. 

“Barang berharga yang diletakkan di dalam lima peti itu termasuk Bitcoin Casascius (Bitcoin fizikal pertama direka), batu Zamrud Colombia, kad Pokemon Shining Charizard 2002, barangan antik dari bangkai kapal serta gelas milik Presiden AS pertama, George Washington. 

“Nilai harta karun itu dianggarkan antara AS$2 juta (RM9 juta) hingga AS$3 juta (RM13.4 juta). Ia dijangka meningkat setiap tahun,” tambahnya. – AGENSI