Pemilik salun kempiskan tayar kereta parkir depan kedai 

kempis

Tangkap layar menunjukkan lelaki itu mengamuk di hadapan salun. – TikTok

JAKARTA – Pemilik sebuah salun di Indonesia mengundang perhatian ramai apabila mengempiskan tayar kereta milik seorang lelaki yang diletakkan di hadapan kedainya selama tujuh jam, lapor portal berita Abatanews semalam. 

Menurut pemilik salun berkenaan, pemandu itu meletakkan keretanya di hadapan kedai bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang (waktu tempatan). 

“Dia bukan sahaja mengganggu perniagaan saya tetapi ‘menumpang’ parkir tanpa meminta izin. 

“Saya sudah mencari pemilik kereta tetapi tidak jumpa. Oleh itu, saya mengempiskan tayarnya dan meninggalkan sekeping kadbod beserta pesanan,” katanya. 

Situasi bertambah tegang apabila lelaki itu menengking pemilik salun tersebut. 

Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik di platform TikTok menunjukkan dia membawa rakan-rakannya sebelum mengamuk di hadapan kedai. 

Rakaman itu mencatatkan lebih 3.7 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi. 

“Sudah parkir tanpa minta izin, nak mengamuk pula,” kata seorang netizen. – AGENSI