Pemilik Rolls-Royce enggan tuntut ganti rugi selepas kereta dilanggar lori

Geli pampas111

ZHU dengan kereta Roll-Royce miliknya yang rosak dilanggar sebuah lori – Foto ctdsb.net

BEIJING  – Seorang pemilik Rolls-Royce bernilai lebih 6 juta yuan (RM3.7 juta) di Guangzhou, China, enggan menerima ganti rugi daripada seorang pemandu lori yang melanggar kenderaan mewahnya, lapor portal berita VNExpress semalam. 

Kemalangan berlaku apabila lori itu membelok dan melanggar kereta Rolls-Royce berwarna merah jambu milik seorang wanita. 

Pemilik Roll-Royce dikenali dengan nama Zhu itu menyiarkan gambar keretanya yang hanya mengalami kerosakan kecil di bahagian hadapan.

Wanita berkenaan menyatakan pada 7 November lalu bahawa dia tidak akan menuntut ganti rugi selepas mengetahui pemandu lori tersebut, Li bergelut dari segi kewangan dan tidak mampu membayar kos kerosakan keretanya.

Dalam kejadian itu, Li dianggap bersalah kerana melanggar kereta mewah tersebut.

Namun, khabar angin mula tersebar di media sosial bahawa Zhu melanggar Li untuk menjadi terkenal kerana wanita itu mempunyai lebih 1.4 juta pengikut di platform Douyin selepas nahas tersebut.

Malah ada yang mendakwa mereka ialah kenalan lama berdasarkan foto lama sebagai bukti. – AGENSI