Pemilik Mercedes enggan bayar pemandu gantian kerana bau badan

Pemandu ganti1

SEORANG pemandu gantian dihina oleh pemilik sebuah kereta Mercedes. – Foto Media Sosial/The Korea Times

SEOUL –  Satu rakaman video menunjukkan seorang pemandu gantian berulang kali meminta maaf selepas dihina oleh pemilik sebuah kereta Mercedes kerana badannya dikatakan berbau  busuk, lapor portal berita The Korea Times semalam.

Berdasarkan undang-undang Korea Selatan, seseorang yang minum arak dalam jumlah yang banyak mesti menggunakan perkhidmatan pemandu gantian bagi memandu kereta.  

Klip video kejadian yang tular di media sosial itu dimuat naik oleh seorang netizen dikenali sebagai A.

Rakaman itu memaparkan seorang pemandu gantian dinafikan bayaran sebanyak 25,000 won (RM79) kerana pemilik kereta mendakwa bau badannya terlalu busuk.

Video itu menunjukkan seorang lelaki dipercayai pemilik kereta Mercedes berkenaan berhadapan dengan pemandu itu dan bertanya: “Mengapakah saya perlu membayar 25,000 won kepada seseorang yang tidak mempunyai kesopanan asas?”

Pemandu itu kemudian menghidu pakaiannya sendiri dan berulang kali meminta maaf.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila pemilik kereta menghubungi majikan pemandu gantian berkenaan dan meninggikan suaranya: “Adakah gelandangan kini boleh menjadi pemandu? Kereta saya berbau busuk disebabkan bau lelaki ini.”

Ramai netizen memberikan komen bersimpati dengan pemandu gantian itu seperti: “Menonton video itu membuatkan saya berasa  marah.”

Namun, ada yang menyokong pemilik kereta dengan menulis: “Kuat sangatkah bau busuknya? Saya pernah mengalami pengalaman  sama.”- AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *