PHOENIX, ARIZONA – Seorang wanita di negeri Arizona ditumbuk seorang pemandu lelaki hanya kerana dia memandu kereta elektrik Tesla, lapor portal berita MailOnline semalam.
Menurut Susan, 60, dia sedang memandu di Route 66, bandar Flagstaff pada 18 Mac lalu apabila sebuah kenderaan lain mengejarnya secara tiba-tiba.
Kereta tersebut kemudian menghalang laluannya sebelum menyuruh Susan berhenti.
Seorang lelaki kemudian keluar dari kereta hijau tersebut lalu menumbuk muka Susan yang sudah membuka pintu kenderaannya.
“Saya bertanya kepadanya, apa kesalahan saya. Namun, dia tidak mengendahkan soalan itu dan terus menumbuk saya,” katanya.
Tambah Susan, dia menggigit lengan penyerang tersebut sebelum rakan lelaki itu menyuruhnya kembali ke dalam kereta dan berlalu pergi.
Tidak jelas kejadian yang menyebabkan pertengkaran fizikal itu, tetapi wanita tersebut percaya bahawa dia menjadi sasaran kerana memandu kereta buatan syarikat Elon Musk.
Kebelakangan ini, serangan ke atas harta benda yang mempunyai logo Tesla berlaku di seluruh Amerika Syarikat dan luar negara.
Walaupun tiada kecederaan dilaporkan, bilik pameran Tesla, lot kenderaan, stesen pengecasan dan kereta milik persendirian telah menjadi sasaran. – AGENSI