SEOUL – Sekurang-kurangnya 13 orang cedera apabila kereta dipandu seorang warga emas berusia 73 tahun merempuh orang awam di sebuah pasar tradisional di Seoul, lapor portal berita Social News XYZ semalam.
Kejadian berlaku sekitar pukul 3.50 petang (waktu tempatan) di Pasar Mokdong Kkaebi, barat daya Seoul.
“Empat orang parah dan sembilan lagi cedera ringan. Tiada kematian dilaporkan setakat ini.
“Pemandu berkenaan tidak mengalami kecederaan serius. Dia juga bersendirian di dalam kereta semasa kejadian,” kata polis.
Beberapa saksi memberitahu, kereta tersebut merempuh pejalan kaki dan gerai sebelum bergerak kira-kira 100 meter ke dalam pasar serta berhenti.
“Salah seorang mangsa adalah pekerja kedai buah-buahan berusia 40 tahun yang mengalami kecederaan kritikal. Dia sedang bekerja di kedai ketika dirempuh.
“Ujian alkohol dan dadah ke atas pemandu didapati negatif,” tambah polis.
Semasa sesi soal siasat, suspek berkata bahawa dia mengeluarkan kereta itu dari garaj kerana bimbang kehabisan bateri selepas tidak digunakan dalam tempoh yang lama.
“Saya memecut laju untuk mengelak bas di hadapan lalu menekan brek berhampiran gerai di pasar. Bagaimanapun, saya tidak ingat dengan jelas kejadian seterusnya,” kata pemandu.
Polis merancang untuk menyiasat punca nahas berdasarkan rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV). – AGENSI