SINGAPURA – Seorang pemandu kereta berwarna hitam yang merempuh tiang lampu di Singapura bertindak keluar daripada kenderaan dan melarikan diri, lapor portal berita Must Share News semalam.
Dia melarikan diri bagi mengelak ditangkap oleh anggota-anggota polis yang mengejarnya pada Sabtu lalu.
Dalam satu rakaman video yang disiarkan di saluran YouTube SG Road Vigilante, kereta hitam itu dikejar oleh kenderaan polis sebelum merempuh tiang lampu dengan laju di sebuah persimpangan.
Sebuah kereta polis menghalangnya pada bahagian tepi manakala sebuah lagi kenderaan pihak berkuasa itu menyekat laluan dari belakang.
Sebaik sahaja anggota polis keluar daripada kenderaan, pemandu berusia 27 tahun itu bertindak melarikan diri.
Bagaimanapun, dia akhirnya ditangkap oleh anggota-anggota polis yang mengejarnya.
Penumpang kereta iaitu seorang lelaki berusia 25 tahun turut ditahan polis.
Kedua-dua pemandu dan penumpang ditahan kerana mengedar dadah. – AGENSI