Pemain sepak kepala lawan semasa perlawanan futsal

geli kepala

Tangkap layar menunjukkan seorang pemain menendang kepala pihak lawan yang terbaring di atas gelanggang. – X

JAKARTA – Perbuatan seorang pemain bola sepak menendang kepala pihak lawan dalam satu kejohanan futsal di Surakarta, wilayah Jawa Tengah mengundang kecaman orang ramai, lapor saluran berita Kompas semalam

Kejadian berlaku sekitar pukul 8.30 malam (waktu tempatan) di Stadium Universiti Sebelas Maret pada Jumaat lalu. 

Rakaman yang dimuat naik di platform X oleh akaun @drivergojek1923 menunjukkan pergaduhan antara pasukan  Fakulti Pertanian (FP) serta Fakulti Ekonomi dan Perniagaan (FEB). 

Seorang pemain dilihat terbaring kesakitan di atas gelanggang sambil dikerumuni oleh ahli pasukannya serta pengadil.

Tidak lama kemudian, kepalanya disepak oleh pihak lawan berbaju merah sehingga mencetuskan kekecohan di stadium. 

Rakaman itu menjadi tular dan mencatatkan lebih 1.7 juta tontonan. 

“Masuk universiti bukan jadi pandai, tetapi semakin tidak berakal,” sindir seorang netizen. 

“Manusia seperti ini harus dihukum penjara! Ia adalah percubaan membunuh!” marah netizen lain. – AGENSI