BANGKOK – Pelancong yang merancang perjalanan ke Thailand perlu menyerahkan Kad Ketibaan Digital (TDAC) secara online bermula 1 Mei ini, lapor portal berita Independent kelmarin.
Peraturan baharu itu dilaksanakan selepas Thailand menyaksikan peningkatan besar kemasukan pelancong asing, didorong populariti drama bersiri komedi musim ketiga berjudul The White Lotus di saluran televisyen HBO.
Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand berkata, peraturan itu diwajibkan kepada warga asing yang masuk ke Thailand melalui laluan udara, jalan darat atau laut.
Ia merupakan pengganti digital untuk dokumen TM6 berasaskan kertas yang perlu diisi oleh pengembara asing untuk memasuki atau meninggalkan Thailand.
Borang TM6 memerlukan pengembara untuk mengisi maklumat peribadi dan butiran mengenai tempoh penginapan serta tempat penginapan.
Musim ketiga drama The White Lotus yang memenangi Anugerah Emmy, membawa penonton menyaksikan pemandangan Pulau Koh Samui yang menakjubkan selain Bangkok dan Phuket.
Koh Samui menyaksikan peningkatan 44 peratus dalam tempahan hotel dan 88 peratus carian di internet, demikian menurut akhbar Bangkok Post. – AGENSI