BANGKOK – Dua pelancong Israel dibelasah sekumpulan lelaki transgender di Pattaya gara-gara pertikaian mengenai wang deposit bagi khidmat hubungan dewasa, lapor laman berita Thaiger.
Kejadian berlaku di Jalan Pantai Pattaya sekitar pukul 2.30 pagi (waktu tempatan), Isnin lalu.
Berdasarkan video kejadian yang tular di media sosial, lima individu transgender dilihat menendang dan menampar seorang lelaki berbaju-T hitam.
Seorang rakan mangsa kemudian tiba untuk membantunya, namun gagal menghentikan pergaduhan sebelum kedua-dua mereka melarikan diri.
Kumpulan penyerang mengejar mereka dengan saksi berkata, salah seorang daripada transgender tersebut memegang kayu.
Anggota-anggota polis kemudian tiba dan menahan semua individu yang terlibat.
Salah seorang transgender memberitahu polis bahawa pelancong Israel berbaju hitam menghampirinya untuk mendapatkan khidmat hubungan intim dengan deposit dipersetujui sebanyak 1,000 baht (RM130).
Bagaimanapun, seorang lagi lelaki kemudian menghampiri mereka dan dan meminta wang itu dikembalikan.
Apabila dia enggan, dua lelaki tersebut didakwa cuba merampas beg yang dipegang untuk mendapatkan kembali wang itu.
Berdasarkan keterangan saksi, polis mendakwa semua individu terlibat kerana bergaduh.
Di bawah undang-undang Thailand, kesalahan itu membawa hukuman maksimum penjara setahun, denda sehingga 20,000 baht (RM2,600), atau kedua-duanya. – AGENSI