BANDAR RAYA NEW YORK – Aktres Rachael Lillis yang menyumbangkan suara untuk watak Jessie dan Misty dalam siri anime Pokemon, meninggal dunia pada usia 46 tahun, lapor akhbar New York Post semalam.
Lillis meninggal dunia pada 10 Ogos lalu selepas menghidapi kanser payudara. Dia disahkan menghidap penyakit itu Mei lepas.
Pengumuman mengenainya dibuat semalam oleh seorang pelakon alih suara bagi karakter Ash Ketchum, Veronica Taylor menerusi kenyataan di laman X.
“Dengan berat hati saya berkongsi berita pemergian Rachael Lillis pada petang Sabtu, 10 Ogos 2024.
“Tarikh pengebumian sedang dirancang,” kata Taylor.
Lillis memulakan kerjaya sebagai pelakon alih suara pada tahun 1997 untuk versi bahasa Inggeris bagi watak Misty dalam siri anime Pokemon.
Dia juga meminjamkan suaranya bagi watak Jessie iaitu ahli Pasukan Roket yang mengikuti Ash dan rakan-rakannya untuk mencuri Pikachu milik Ash. – AGENSI