JAKARTA – Seorang pelajar universiti di Majalengka, wilayah Jawa Barat membunuh teman lelakinya selepas mangsa memberitahu bahawa hubungan mereka tidak direstui keluarganya, lapor laman berita Banjarmasin Post hari ini.
Suspek yang dikenali sebagai AMP, 21, membunuh Varhan Ripana, 22, sebelum meletakkan mayat mangsa di dalam but kenderaannya.
Suspek kemudian menghantar mayat mangsa ke hospital lalu dia membuat laporan polis.
Ketua polis tempatan, Asisten Komisioner Willy Andrian berkata, kejadian berlaku pada 30 April lalu di rumah suspek.
“Suspek memukul mangsa pada mata, tangan, bahu serta pinggang menggunakan tangan kosong dan telefon bimbit,” katanya.
Tambah Willy, mangsa tidak diberikan bantuan perubatan, malah dikurung di dalam bilik selama tiga hari sehingga keadaan kesihatannya merosot, lalu meninggal dunia.
Polis kemudian menangkap suspek setelah menerima laporan daripada bapa mangsa, Tata Juarta. – AGENSI