Pekerja ditemui sudah mati 4 hari dalam kubikel pejabat

pekerja bank ditemui mati

Gambar fail menunjukkan bangunan milik di syarikat Wells Fargo di Tempe, Arizona. – KPNX

TEMPE, ARIZONA – Seorang pekerja bank di Amerika Syarikat ditemui mati berseorangan di meja pejabatnya selepas empat hari mengimbas masuk (punch in) ke tempat kerja, lapor akhbar Metro UK semalam. 

Denise Prudhomme, 60, ditemui tidak bernyawa selepas empat hari berada di dalam pejabat syarikat perkhidmatan kewangan Wells Fargo di Tempe, Arizona, pada 20 Ogos lalu. 

Imbasan terakhirnya ke dalam bangunan itu adalah pada hari Jumaat sebelum pukul 7 pagi (waktu tempatan).

Seorang pekerja keselamatan melaporkan kepada polis bahawa dia terlihat seorang pekerja meninggal dunia di kubikel pejabatnya di blok 1100 West Washington Street. 

Menurut polis, Prudhomme disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sejurus sebelum pukul 5 petang (waktu tempatan). 

Seorang kakitangan berkata, beberapa orang terhidu bau busuk tetapi mereka menyangka ia berpunca daripada masalah paip.

Wells Fargo mengesahkan bahawa pejabat Prudhomme berada di aras tiga dan dia duduk di bahagian yang tidak ramai orang.

“Kami sangat sedih dengan kehilangan rakan sekerja kami, Denise Prudhomme. Hati kami bersama keluarga dan orang tersayangnya. Kami juga berhubung untuk memastikan mereka disokong dengan baik semasa masa sukar ini,” kata syarikat itu. 

Polis sedang menjalankan siasatan dan berkata, tiada tanda atau bukti jelas berlakunya perbuatan khianat.

Punca kematian mangsa akan ditentukan oleh Pemeriksa Perubatan Daerah Maricopa. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *