Pearly-Thinaah belum kibar \’bendera putih\’

Pearly Thinaah 1

PEARLY (kanan) dan Thinaah akur muncul naib juara Indonesia Masters selepas tewas di pentas final kelmarin. – AFP

KEKALAHAN pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Indonesia Masters langsung tidak merentap semangat juang beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah bagi mengharungi saingan musim ini.

Sebaliknya, pasangan No. 7 dunia itu sentiasa berpesan kepada diri sendiri supaya tidak mudah mengalah meskipun masih belum menemui rentak sebenar dalam tiga kejohanan awal bagi kempen 2025.

Thinaah mengakui, dia dan Pearly pada awalnya berasa bimbang dengan prestasi sendiri, terutamanya ketika tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Malaysia awal bulan ini.

“Secara jujur, memang kami mahu memulakan saingan musim ini dengan langkah kanan, terutamanya apabila beraksi di laman sendiri (Terbuka Malaysia). Memandangkan kami bermula kurang baik, memang agak risau juga.

“Saya rasakan seperti kami lebih banyak ada hari buruk berbanding hari baik. Kami bercakap dengan diri sendiri supaya jangan mengalah dan pastikan ‘api’ dalam diri terus menyala,”katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pada perlawanan akhir Indonesia Masters di Istora Senayan, Jakarta kelmarin, bekas juara Terbuka Perancis itu tewas 12-21, 21-17, 18-21 kepada beregu Korea Selatan, Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong.

Ia adalah kekalahan kedua berturut-turut Pearly-Thinaah kepada beregu No. 29 dunia itu selepas turut tewas pada separuh akhir Terbuka India di New Delhi minggu lalu.

“Saya gembira dengan permainan hari ini (kelmarin), bukannya disebabkan menjadi naib juara. Permainan kami lebih baik jika dibandingkan dengan dua kejohanan terdahulu yang menyebabkan kami rasa lemah dan kecewa,”ujar Pearly.