Paus bunting mati tertelan sampah 

paus bunting mati

Bangkai paus betina ditemui terdampar dengan beberapa kilogram sampah di dalam perutnya. – Bangkok Post

BANGKOK – Bangkai seekor ikan paus bunting ditemui terdampar di sebuah pantai di Phuket, dengan keadaan perutnya dipenuhi sampah sarap, lapor portal berita Thaiger. 

Kejadian itu mengejutkan masyarakat sekali gus menunjukkan kesan pencemaran marin yang kritikal. 

Paus sperma kerdil betina sepanjang 2.24 meter itu ditemui di pantai Bang Tao, daerah Thalang pada 2 September lalu. 

Pakar dari Pusat Penyelidikan Sumber Laut dan Pantai Andaman mengesahkan bahawa mamalia berkenaan sedang bunting, manakala doktor haiwan juga mendedahkan ia mengalami kesan luka parah di bahagian kepala dan sisi.

Ia dipercayai disebabkan oleh percubaan terdesak untuk kembali ke laut selepas terdampar. 

Menurut pasukan veterinar, gelembung udara dan cecair didapati terperangkap dalam sistem pernafasan paus itu, manakala pemeriksaan menyeluruh ke atas saluran pencernaan menemukan beberapa kilogram serpihan marin termasuk penyedut minuman, beg plastik dan tali.

Paus itu juga mengalami kekurangan zat makanan yang teruk dan lemah akibat ketidakupayaan untuk makan dengan betul disebabkan jumlah sampah sarap di dalam perutnya. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *