WASHINGTON – Sejenis makhluk ganjil yang dilihat berjalan di sekitar landasan kereta api di negeri Oregon membuatkan pakar-pakar hidupan liar keliru, lapor portal berita MailOnline semalam.
Richard Melling dan isterinya keluar bersiar-siar ketika melintasi Jambatan Sellwood di Portland, Oregon awal bulan ini apabila mereka melihat haiwan itu dari jauh.
Melling memberitahu laman berita OregonLive: “Haiwan ini kelihatan liar dan seperti anak anjing. Ia seperti anak anjing yang sangat gembira.”
Selepas melihat lebih dekat, dia menyedari makhluk itu bukan anjing dan mengeluarkan telefon pintarnya untuk merakam video dengan harapan mereka dapat mengenal pasti jenis haiwan tersebut.
Walaupun pakar-pakar hidupan liar bergelut untuk mengenal pasti haiwan itu tetapi mereka akhirnya sepakat bahawa binatang itu berkemungkinan serigala Artik.
Ahli biologi Jabatan Hidupan Liar Oregon, Benjamin Cate bagaimanapun menulis dalam e-mel yang dikongsi bersama OregonLive: “Sejujurnya, kami tidak 100 peratus pasti haiwan ini serigala Artik.” – AGENSI