Parti hari jadi bertukar tragedi

pelajar tikam

Sekumpulan remaja menyerbu parti hari jadi yang diadakan di dewan sekolah. – X

LONDON –  Parti hari jadi di sebuah dewan sekolah di England bertukar tragedi apabila kumpulan remaja bersenjatakan pisau menyerbu majlis tersebut dan menikam dua pelajar, lapor akhbar Metro UK semalam.

Tiga tangkapan dibuat susulan insiden di Sekolah Rendah Elm Park di Essex petang Sabtu lalu.

Beberapa laporan menyebut,  sehingga 50 remaja berada dalam kumpulan penyerang itu  di mana mereka menyerbu dewan sekitar pukul 9 malam (waktu tempatan).

Pergaduhan berlaku sehingga pukul 11 malam (waktu tempatan), menyebabkan dua remaja lelaki berusia 19 dan 16 tahun dikejarkan ke hospital kerana mengalami kecederaan yang tidak mengancam nyawa.

Tiga remaja yang ditahan dibawa ke balai polis timur London dan telah diikat jamin selepas  disoal siasat.

“Polis dipanggil sejurus selepas pukul 9 malam (waktu tempatan) pada hari Sabtu, 22 Mac untuk menangani pergaduhan melibatkan kumpulan remaja di Calbourne Avenue.

“Anggota-anggota kami terpaksa bertindak   terhadap beberapa remaja yang menjadi agresif,” kata seorang jurucakap Polis Metropolitan London.

Siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian sedang giat dilakukan, tambahnya. – AGENSI