BEIJING – Seorang lelaki mengalami detik cemas apabila dia disedut ke dalam awan ketika melakukan aktiviti luncur udara atau paragliding di sebuah gunung di utara China, lapor akhbar New York Post kelmarin.
Insiden itu berjaya dirakam di Pergunungan Qilian pada Sabtu lepas.
Lelaki tersebut, Liu Gei melakukan luncur udara pada ketinggian kira-kira 3,000 meter dari aras laut sebelum dia disedut ke dalam awan ketika suhu mencatatkan bawah paras sifar.
Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan Liu cuba mengendalikan payung terjun dengan tenang meskipun wajahnya terdedah kepada cuaca sejuk ekstrem.
“Saya kekurangan oksigen dan tangan saya mula membeku. Namun, saya cuba untuk terus berkomunikasi melalui interkom,” katanya.
Liu berkata, suhu boleh turun kepada kira-kira -40 darjah Celsius pada ketinggian lebih 8,000 dari darat dan paras oksigen berisiko menjunam ke paras rendah.
Dia akhirnya berjaya mendarat dengan selamat selepas kekal sedar sepanjang terperangkap di dalam dalam awan, namun mengalami reput fros yang teruk dan sedang menerima rawatan di hospital. – AGENSI