Pang Ron-Su Yin ‘korban’ cuti

BADMINTON

PANG RON-Su Yin berjaya menembusi kelompok 20 terbaik dunia selepas kejayaan di China Masters sebelum ini.

TIADA istilah cuti panjang buat beregu campuran meningkat naik, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin apabila sudah kembali ke gelanggang latihan sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 pada 7 hingga 12 Januari depan.

Selepas menamatkan saingan China Masters di Shenzhen 24 November lalu, pasangan No. 18 dunia itu hanya berehat selama seminggu sebelum kembali menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara kelmarin.

Pang Ron berkata, mereka tidak boleh berehat lama memandangkan kempen Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi musim 2025 akan membuka tirainya pada Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil.

“Minggu lepas kami mendapat rehat singkat dan sudah pun menjalani latihan kelmarin kerana perlu melakukan persediaan bagi menghadapi Terbuka Malaysia. Selepas ini kami tidak ada waktu untuk rehat lagi.

“Kami rasa sangat gembira dan teruja menjelang Terbuka Malaysia kerana akan beraksi di laman sendiri. Sudah tentu kami tidak sabar untuk memulakan saingan pada kejohanan itu nanti,”katanya ketika ditemui di ABM semalam.

Sebagai rekod, Pang Ron-Su Yin menampilkan aksi cukup konsisten sepanjang saingan musim ini apabila kerap melangkah jauh dalam setiap kejohanan disertai, termasuk ketika muncul naib juara China Masters.

Hasil prestasi cemerlang ditampilkan, beregu yang baru digandingkan November tahun lalu itu boleh berbangga apabila mereka kini berada dalam kelompok 20 ranking teratas dunia di tangga ke-18.

“Berhubung prestasi di China (Masters), keyakinan kami semakin bertambah dari satu ke satu perlawanan. Memandangkan kami adalah ‘underdogs’, jadi kami tidak perlu takut dan hanya tampilkan aksi terbaik di dalam gelanggang,”ujar Pang Ron.