NEW DELHI – Seorang pembantu rumah di Ghaziabad, negeri Uttar Pradesh ditahan kerana mencampurkan air kencing ke dalam doh roti untuk diberi makan kepada majikannya, lapor stesen penyiaran NDTV semalam.
Menurut polis tempatan, suspek yang dikenali sebagai Reena, 32, bekerja selama lapan tahun bersama sebuah keluarga usahawan.
Situasi itu terbongkar apabila isteri kepada ahli perniagaan hartanah, Nitin Gautam, memasang kamera pengintip di bahagian dapur selepas beberapa ahli keluarganya mengalami penyakit berkaitan hati.
Dia mengesyaki pembantu rumahnya menjadi punca kepada masalah itu.
Kamera yang dipasang berjaya merakam suspek mencampurkan air kencingnya ke dalam tepung yang digunakan untuk membuat roti.
Mereka menggunakan rakaman itu untuk membuat laporan polis, menyebabkan suspek ditahan.
Menurut Asisten Komisioner Polis Wave City, Lipi Nagaich, suspek bertindak demikian kerana dendam akibat sering dimarahi oleh majikannya hanya disebabkan kesalahan kecil. – AGENSI