Nenek, 2 cucu nyaris maut penutup lurang meletup

penutup lurang

Penutup lurang itu meletup dan melayang ke udara di bandar Poughkeepsie, New York. – Jabatan Bomba Poughkeepsie

BANDAR RAYA NEW YORK – Seorang wanita dan dua cucunya nyaris maut apabila penutup lurang di tepi jalan yang dilalui mereka tiba-tiba meletup dan melambung ke udara, lapor laman berita Fox News. 

Kejadian berlaku di bandar Poughkeepsie, New York, pada Sabtu lalu. 

Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan wanita bernama Lisa Davis berjalan di atas penutup lurang bersama cucunya sambil menolak kereta sorong.

Beberapa saat kemudian, penutup lurang itu meletup dan melambung ke udara.

Jabatan Bomba Poughkeepsie mengesahkan kejadian itu serta menambah, sekeping lagi penutup lurang di Jalan Akademi dan Gereja turut meletup.

“Kami menemui paras karbon monoksida yang tinggi di beberapa bangunan. Semua penghuni telah dipindahkan sehingga paras gas dapat dikurangkan,” kata jabatan itu.

Sementara itu, jurucakap syarikat Central Hudson Gas & Electric Corp. berkata, letupan itu dipercayai berpunca daripada kerosakan elektrik pada kabel bawah tanah, dan tiada kaitan dengan sistem pengedaran gas. – AGENSI