JAKARTA – Seorang lelaki di Sumba Timur, wilayah Nusa Tenggara Timur nekad berenang melawan arus banjir bagi menyelamatkan sebuah perahu yang dihanyutkan air, lapor laman berita Detik semalam.
Sebuah video tular di media sosial memaparkan tindakan berani Rinaldy Hendrik Yusup Yiwa, 30, pada Jumaat lalu.
Dalam video tersebut, Rinaldy berenang bermatian-matian dalam air banjir tanpa menggunakan sebarang peralatan bantuan.
Menurut Ketua Polis Sumba Timur, Asisten Komisioner Jacky Umbu Kaledi, ketika kejadian, Rinaldy sedang menggali pasir di tebing Sungai Kambaniru.
Ujarnya, tidak lama kemudian, banjir kilat menyebabkan air sungai melimpah dan mencetuskan arus deras.
Rinaldy kemudian melihat sebuah sampan dihanyutkan arus sebelum dia nekad melompat ke dalam air untuk menyelamatkan objek tersebut.
“Dia akhirnya berjaya menyelamatkan sampan itu. Sampan itu kini disimpan di rumahnya, namun pemiliknya belum diketahui,” kata Jacky. – AGENSI