Nasib si tukang kasut

kasut

Mohamad Azhar mengakui isterinya memerlukan perbelanjaan sekitar RM1,000 setiap kali menjalani rawatan kanser limfoma.

IPOH – Seorang suami dari pekan Chemor di sini, terpaksa berker­ja keras untuk mencari rezeki bagi menanggung keluar­ganya termasuk isteri yang menghidap kanser limfoma tahap empat.

Mohamad Azhar Ariffin, 55, berkata, dia kini hanya bergantung kepada pekerjaan sebagai tukang kasut dengan pendapatan hanya sekitar RM800 sebulan.

Menurut Mohamad Azhar, isterinya, Halimatun Zamri, 36, menghidap kanser limfoma sejak Disember 2021 dan memerlukan perbelanjaan sekitar RM1,000 setiap kali menjalani rawatan.

“Selain isteri, saya juga perlu menanggung dua anak yang berusia 14 dan lima tahun.

“Saya perlu membahagikan masa dengan sebaiknya memandangkan ada anak yang masih bersekolah. Duit yang ada hanya daripada pendapatan menjahit kasut dan duit simpanan.

“Selain itu, saya perlu berjimat cermat. Duit simpanan hampir habis. Saya ada buat permohonan bantuan. Saya sangat harap agar dapat membantu keluarga saya,” katanya yang membuka perkhidmatan membaik pulih kasut di kaki lima sekitar pekan Chemor di sini.

Jelasnya, Halimatun dikesan menghidap kanser ketika membuat pemeriksaan kesihatan sewaktu mahu memohon pekerjaan pada tiga tahun lalu.

Katanya, dugaan itu telah menjejaskan rutin harian keluarga termasuk anak sulung mereka yang kerap tidak hadir ke sekolah kerana mengikuti ibunya menjalani rawatan di hospital.

“Saya juga tidak dapat meneruskan kerja ketika itu sebagai pengawal keselamatan kerana jadual tugas secara syif menyukarkan untuk saya menguruskan keluarga.

“Perkara ini berlaku sekelip mata, saya hanya boleh me­lakukan kerja sebagai tukang kasut kerana itu sahaja kemahiran yang saya mampu peroleh dalam masa singkat. Saya amat risau duit simpanan semakin habis,” katanya yang memohon sumbangan orang ramai untuk membantu meringankan beban keluarga.

Dalam pada itu, orang ramai yang mahu menyumbang boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor (BSN) 0810-5410-0003-6867 atas nama Mohamad Azhar ­Ariffin atau meng­hubunginya di talian 010-925 7830.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *