LONDON – Penduduk sebuah kejiranan baharu di Kent, England dibelenggu pemandangan menjijikkan apabila sisa kumbahan manusia mengalir keluar ke jalan raya tanpa henti, lapor saluran Mail Online kelmarin.
Rakaman kejadian menunjukkan beberapa jalan dipenuhi tisu kotor dan najis manusia yang mengalir keluar seperti sungai.
Lebih teruk, banyak tikus berkeliaran di sepanjang jalan kerana tertarik dengan bau busuk itu.
Lelaki yang merakam kejadian itu, Leigh Hawkins, 42, berkata, dia ‘dihalang’ oleh aliran najis dan kumbahan semasa dalam perjalanan ke rumah rakannya di St Luke Close.
“Keadaan ini menjijikkan. Banyak ketulan najis manusia dan tisu di jalan raya dan baunya sangat busuk.
“Saya tinggal di sini selama 12 tahun dan situasi ini tidak pernah berlaku sehinggalah kawasan ini didiami oleh ramai orang.
Menurutnya, masalah itu melanda penduduk sejak syarikat pemaju Hyde Homes memulakan kerja pembinaan pada 2019.
“Namun, Hyde Homes menyalahkan penduduk setempat kerana membuang lampin bayi, produk sanitari serta tisu sewenang-wenangnya, menyebabkan salur kumbahan tersumbat,” tambahnya. – AGENSI