HANOI – Seorang penumpang lelaki dari Hong Kong ditahan di Lapangan Terbang Noi Bai, Hanoi selepas dia didapati membawa 3 kilogram emas yang disembunyikan di dalam kasut sukan yang dipakai, lapor portal berita VNExpress.
Emas itu dikesan selepas anggota-anggota kastam melakukan pemeriksaan terhadap penumpang berkenaan, yang tiba di lapangan terbang tersebut sekitar pukul 9 pagi (waktu tempatan) kelmarin.
Pihak berkuasa kastam yang menggunakan alat pengesan logam, mengesan objek pada badan suspek, menyebabkan dia diarahkan menjalani pemeriksaan lanjut.
Semasa proses itu, suspek mengeluarkan objek tersebut yang berat keseluruhannya adalah 3 kilogram.
Dia mendakwa bahawa jongkong emas itu adalah emas tulen dan bernilai kira-kira 6 bilion dong (RM1 juta).
Kes itu telah diserahkan kepada polis Hanoi untuk siasatan lanjut. – AGENSI