Naib Presiden Sarah Duterte dituduh ‘dalang’ komplot pembunuhan

TETE scaled

SARA DUTERTE berucap di Manila pada 28 Januari lalu. – AFP

MANILA – Jabatan kehakiman hari ini melabelkan Naib Presiden Sara Duterte sebagai dalang komplot untuk cuba membunuh Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Junior dan memberitahu bahawa beliau diberi masa lima hari untuk hadir memberi keterangan.

Duterte diminta memberi keterangan selepas menyatakan bahawa beliau telah mengeluarkan  arahan supaya Marcos dibunuh sekiranya komplot untuk membunuhnya berjaya. Duterte berkata demikian pada  sidang akhbar hujung minggu lalu.

“Kerajaan sedang mengambil tindakan untuk melindungi presiden kita yang dipilih oleh rakyat.

“Komplot untuk membunuh presiden telah diisytiharkan oleh dalangnya(Duterte)  yang kini berdepan tindakan undang-undang,” kata Setiausaha Rendah Kehakiman, Jesse Andres kepada pemberita hari ini.

Beberapa jam sebelumnya,  Marcos berikrar untuk ‘melawan kembali’ ancaman tersebut.

Perikatan Marcos-Duterte yang mengambil alih kuasa pada 2022 runtuh menjelang pilihan raya separuh penggal, tahun depan selepas kedua-dua belah pihak saling menuduh pihak satu lagi menagih dadah.

Duterte yang bakal berdepan perbicaraan pemecatan, memberitahu pemberita kelmarin bahawa beliau adalah sasaran komplot pembunuhan dan telah mengarahkan supaya Marcos dibunuh sekiranya pembunuhannya berjaya.

Dalam sidang akhbar tersebut, Duterte turut menyebut Wanita Pertama Filipina, Liza Araneta-Marcos dan sepupu Marcos, Martin Romualdez sebagai sasarannya.

“Saya kata, sekiranya saya mati, jangan berhenti sehingga kamu membunuh mereka(trio tersebut),” kata Duterte. Dia mengeluarkan arahan itu kepada pasukan keselamatannya.

Beberapa jam kemudian, Istana Presiden menyifatkan komen Duterte sebagai ‘ancaman aktif’.  – AFP