Nahas pesawat ATR 72-500: Mayat semua mangsa ditemui

mangsa jumpa

Pesawat ATR 72-500 terhempas di Sao Paulo. – EPA

BRASILIA – Kesemua mayat mangsa nahas sebuah pesawat ATR 72-500 di Sao Paulo, Brazil telah ditemui di lokasi kejadian, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Pasukan kecemasan berusaha untuk mencari dan mengenal pasti kesemua mangsa nahas itu, selepas turboprop enjin berkembar yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Voepass tersebut terhempas di bandar Vinhedo.

Jumlah mangsa disemak semula semalam menjadi 62 orang.

Voepass sebelum ini berkata, ATR 72-500 tersebut membawa 57 penumpang dan empat anak kapal antara Cascavel di negeri selatan Parana, ke lapangan terbang Guarulhos di bandar Sao Paulo.

Namun, ia kemudian mengesahkan terdapat seorang lagi penumpang yang tidak diketahui dalam penerbangan itu.

Rakaman video yang tersebar di media sosial menunjukkan sebuah pesawat menjunam secara menegak sebelum berpusing-pusing semasa ia jatuh.

Pesawat itu terhempas di kawasan perumahan, tetapi tiada sesiapa pun di darat yang cedera.

Pegawai berkata, hanya sebuah rumah di sebuah kompleks kondominium tempatan rosak.

Kerajaan negeri Sao Paulo berkata, ia menamatkan operasi mengeluarkan mayat-mayat mangsa dari lokasi nahas pada pukul 6.30 petang (waktu tempatan) semalam.

Ia menambah bahawa mayat 34 lelaki dan 28 wanita itu dipindahkan ke bilik mayat polis di bandar Sao Paulo, di mana kesemuanya akan dikenal pasti dan diserahkan kepada keluarga. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *