Misteri bunyi tangisan bayi atas bumbung

bayi misteri

Lokasi bayi tersebut ditemui. – Command Center Surabaya

JAKARTA – Penduduk sebuah kampung di Surabaya, wilayah Jawa Timur menemukan seorang bayi baru lahir dalam keadaan masih bertali pusat di atas bumbung sebuah rumah, lapor laman berita Kompas semalam.

Bayi tersebut ditemukan malan Sabtu lalu selepas penduduk kehairanan mendengar bunyi tangisan bayi di atas bumbung.

Ketua masyarakat setempat, Dadang Harjogunawan berkata, bayi perempuan itu berada dalam keadaan baik dan ketika ditemui, dia hanya beralaskan kain.

“Keadaan badannya semuanya normal dan tiada kesan luka. Namun, terdapat beberapa kesan gigitan semut,” kata Dadang.

Tambah Dadang, apa yang menjadi misteri adalah bayi tersebut diletakkan di atas bumbung yang berketinggian kira-kira 5 meter.

“Itu yang membuatkan kami kehairanan. Jika ada seseorang memanjat ke bumbung, pasti akan terdengar bunyinya. 

“Jika seseorang melompat dari bumbung rumah lain pula, jaraknya amat jauh dan pasti akan jatuh,” jelasnya.

Bayi seberat 3.3 kilogram itu dipercayai baru dilahirkan kira-kira empat jam sebelum dia ditemui.

Penduduk yang menemuinya memberi susu kepada bayi tersebut sebelum dia dibawa ke hospital terdekat untuk mendapatkan rawatan lanjut. – AGENSI