HANOI – Sebuah restoran mengundang perhatian orang ramai selepas melancarkan hidangan mi daging lembu ‘bubble tea’ dalam usaha memanfaatkan populariti minuman ‘teh susu boba’ di Vietnam, lapor portal berita Oddity Central semalam.
Hidangan terbaharu Restoran Yu Tang itu menggunakan campuran sup sayur, teh hitam dan susu segar.
Lebih aneh, mi tersebut disajikan bersama hirisan daging lembu dan ‘boba’.
Hidangan itu menjadi tular di Vietnam. Ramai pesohor media sosial berpusu-pusu mencuba mi tersebut untuk paparan kandungan laman sosial masing-masing.
Pesohor media sosial tempatan, Duc Anh bagaimanapun mengkritik hidangan itu sebagai tidak memiliki apa-apa keistimewaan dan tawar.
“Rasa keseluruhannya tidak mengagumkan atau istimewa. Ia tidak ‘menjijikkan’ seperti yang dibayangkan oleh ramai orang tetapi tawar.
“Ramuannya tidak serasi antara satu sama lain,” kata Duc Anh.
Hidangan aneh itu dilancarkan pada 29 September lalu pada harga mencecah 98,000 dong (RM16.87) setiap satu. – AGENSI