PETALING JAYA – “Menyesal kahwin ia so real (adalah sangat tepat). Saya berharap dia sedar dengan kenyataan saya dan ceraikan saya.”
Demikian luahan isteri kepada pelawak Shuk Sahar, Fara Salleh menerusi bebenang Threads yang seolah-olah memberi bayangan mengenai keberantakan rumah tangga mereka yang belum berusia setahun.
Mengundang pelbagai spekulasi, seorang netizen tampil mendakwa Fara menjadi punca perceraian rumah tangga pelawak itu dengan bekas isteri, Rossa Sera seolah-olah mahu menyatakan perkara tersebut sebagai karma untuk perbuatannya sebagai orang ketika selama ini.
Enggan dijadikan bahan fitnah, Fara mempertahankan dirinya dengan bertegas, dia bukan penyondol seperti didakwa banyak pihak sebaliknya bekas peserta Raja Lawak itu sememangnya ‘kaki perempuan’.
“Saya tak pernah rebut dia dan dia bukan ada saya seorang sahaja kalau nak tahu zaman itu boleh tanya tuan badan sendiri.
“Allah saksi saya dan dalam kalangan kawan dia pun tahu tentang perkara ini.
“Saya juga simpan semua perbualan dia dengan wanita lain Saya bukan punca (Shuk bercerai) dan saya tak pernah bersuara pasal ini kerana selama ini saya hanya diam,” ujarnya dalam Threads.
Netizen lain turut menasihati Fara agar mencari punca perubahan suaminya bagi menyelesaikan masalah rumah tangga.
Namun, kata Fara sikap pemarah suaminya menyukarkan mereka mencari jalan keluar daripada setiap permasalahan yang berlaku. Dakwa Fara juga, Shuk lebih percayakan kawan berbanding isteri sendiri.
“Dia lebih percayakan kawan yang melindunginya. Banyak kali saya ajak ke kaunseling tetapi dia tidak mahu.
“Berapa ramai ustaz dah nasihatkan. Dia baran sangat tetapi kalau dengan orang lain dia tidak macam ini,” ujarnya lagi.
Meskipun meluahkan kekesalan mendirikan rumah tangga dengan Shuk atau nama sebenarnya Mohamad Shukri Mohamed Sahar, 38, Fara enggan memperincikan punca membuat pendedahan terbuka itu.
Hasil pemerhatian Kosmo! Online, Fara juga memadam hantaran tersebut.
Sebelum ini, Shuk mendedahkan dirinya sudah berkahwin kali kedua pada November tahun lalu, namun mengambil pendekatan mengunci mulut tentang perkahwinan dengan Fara itu atas alasan belum masa untuk menguar-uarkan.
Terdahulu, nama Fara pernah menjadi bualan hangat apabila didakwa menjadi orang ketiga dalam rumah tangga Shuk bersama bekas isteri.
Sebelum bersama Fara, Shuk pernah mendirikan rumah tangga dengan Rossa Sera pada 2015 tetapi bercerai pada 22 Mac 2023.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Qurratu Ain, 8, dan Nur Assyifatu Aimi, 5 tahun. – Iteenews