Mencari rumah berhantu untuk dibeli

beli rumah berhantu

Ploy dan ibunya merupakan pelabur hartanah yang pakar dalam membeli rumah lama, mengubah suai dan menjualnya semula di pasaran. – DailyNews

BANGKOK – Dua pelabur hartanah di wilayah Rayong menjadi perhatian pengguna media sosial kerana menawarkan perkhidmatan membeli rumah berhantu untuk dijual semula di pasaran, lapor laman berita Thaiger.

Sehelai sepanduk iklan yang menawarkan promosi itu dipasang di sebuah kawasan kejiranan, berhampiran sebuah tokong.

Dengan ayat bertulis ‘Mencari rumah berhantu untuk dibeli’, gambar sepanduk iklan itu dimuat naik di media sosial sebelum ia menjadi perhatian ramai.

Saluran berita Channel 7 kemudian menghubungi pelabur hartanah tersebut berdasarkan nombor telefon yang diletakkan.

Menurut Suthima ‘Ploy’ Rungsirat, 33, dia dan ibunya ialah pelabur hartanah yang pakar dalam membeli rumah lama, mengubah suai dan menjualnya semula di pasaran. 

Bagi menarik minat lebih ramai penjual, mereka memutuskan untuk memburu rumah berhantu bagi membantu pemiliknya menjual hartanah mereka.

Tambah Ploy, dia dan ibunya membeli semua jenis rumah lama, sama ada berpuaka atau tidak.

Ujar wanita itu lagi, kebanyakan pelanggannya tidak mengambil kisah mengenai cerita misteri sesebuah rumah itu.

Mereka sebaliknya berasa gembira apabila melihat keadaan hartanah itu selepas diubah suai. – AGENSI