PETALING JAYA – “Antara ‘match’ (perlawanan) yang paling mendebarkan pernah saya saksikan”.
Demikian kata bekas pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei apabila beregu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya menewaskan lawan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, sebentar tadi.
“Gilalah perlawanan ini. Perlawanan yang patut kalah tapi gandingan lelaki sejati Melaka- Kuala Lumpur ini mengembalikan harapan untuk lencana di dada.
“Terima kasih Aaron-wooi yik. Andalah hero Negara sekali lagi. Malaysia sekarang secara rasmi, di tangga pingat Olimpik Malaysia,” katanya dalam hantaran di Instagram hari ini.
Sehubungan itu, Chong Wei yang pernah memenangi tiga pingat perak Olimpik berharap agar beregu negara itu dapat merekodkan pencapaian yang lebih baik pada masa depan.
“Salah satu kebangkitan semula terbaik yang pernah dilihat oleh rakyat Malaysia.
“Namun, saya tidak mahu anda menjadi seperti saya. Tiga pingat semua sama warna. Untuk medal seterusnya, saya doakan anda dapat warna lain,” ujarnya.
Terdahulu, beregu negara itu mempamerkan kebangkitan epik meskipun ketinggalan 16-20 pada set kedua sebelum meraih enam mata berturut-turut sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Aaron-Wooi Yik menang 16-21, 22-20, 21-19 dalam tempoh 74 minit pada perlawanan penentuan pingat gangsa itu. – Iteenews