Manila tutup sekolah kerana gelombang haba

HABAA

MURID meninggalkan sebuah sekolah di Manila hari ini. – AFP 

MANILA – Suhu panas melampau menyebabkan hampir separuh daripada keseluruhan sekolah di bandar raya Manila ditutup hari ini, kata beberapa pegawai ketika musim kering bermula di Filipina.

Perkhidmatan kaji cuaca nasional memberi amaran, indeks haba dijangka mencapai tahap bahaya di Manila dan dua kawasan lain di negara itu.

“Kejang otot dan kelesuan mungkin  berlaku,” kata jabatan itu sambil menambah, orang ramai di kawasan terjejas dinasihatkan mengelak pendedahan berterusan kepada pancaran matahari 

Gelombang haba melanda kawasan luas di Filipina pada April dan Mei tahun lalu, menyebabkan penutupan sekolah hampir setiap hari dengan berjuta-juta pelajar terjejas.

Suhu di Manila mencatatkan rekod tertinggi 38.8 darjah Celsius pada 27 April 2024.

Suhu di ibu negara Filipina itu dijangka mencecah cuma 33 Celsius hari ini tetapi kerajaan tempatan dan enam daerah lain  mengarahkan sekolah-sekolah ditutup sebagai langkah pencegahan.

Rantau ibu negara Filipina itu mempunyai populasi lebih 2.8 juta pelajar.

Di daerah Malabon, Manila, pegawai jabatan pendidikan, Edgar Bonifacio berkata, penutupan itu menjejaskan lebih 68,000 pelajar di 42 buah sekolah.

“Kami terkejut dengan amaran indeks haba tersebut,” kata Bonifacio. – AFP