Man. United serba serbi bermasalah

Man United 4

HOJLUND (kiri) dikatakan gagal menambat hati Amorim yang kecewa melihat prestasinya ketika ini. – AFP

MANCHESTER – Tiada jalan pintas mampu menyelamatkan Manchester United yang kini wajib memastikan kemenangan ke atas Ipswich Town pada perhitungan penting aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford awal pagi esok.

Dengan aksi yo-yo yang dijelmakan pasukan sepanjang musim ini, The Red Devils kini sudah tidak mempunyai banyak masa untuk keluar daripada terus dilabel bahan jenaka oleh peminat kelab lain.

Cerita di luar padang turut menarik perhatian apabila pengurusan pasukan itu dikatakan bakal membuang 200 pekerja dalam ‘pelan transformasi’ bagi meningkatkan kestabilan kewangan kelab berkenaan.

Selain itu, kesabaran pengurus United, Ruben Amorim yang sering mempertahankan pasukan, kini benar-benar teruji hingga menyaksikan beliau menzahirkan rasa kurang puas hati dengan persembahan penyerang utama, Rasmus Hojlund.

Berdasarkan situasi semasa, hanya kemenangan yang perlu dicatatkan United bagi mengelak keadaan pasukan semakin nazak hingga terperosok ke kedudukan lebih bawah dalam carta liga.

Bagaimanapun, misi seakan berada di laluan sukar memandangkan Amorim kini terpaksa mengerah idea lebih segar memandangkan kelab itu hampir pasti turun tanpa Noussair Mazraoui.

“Dia mampu membaca permainan, tahu bagaimana untuk melakukan serangan dan dia cukup bagus ketika melakukan tugasan bertahan. Dia juga seorang pemain yang memiliki kemahiran teknikal.

“Dia adalah pemain bola sepak moden dan apabila kita berbicara tentangnya, sudah pasti kami memerlukan lebih ramai pemain seperti Nous (Mazraoui). Matlamat utama pasukan adalah untuk mendapatkan khidmatnya secepat mungkin,”katanya. – AGENSI