Malaysia, Iran tingkat pelaburan perdagangan

WhatsApp Image 2025 04 01 at 9.56.06 AM

Anwar sewaktu menerima panggilan daripada Masoud.

PETALING JAYA – Malaysia dan Iran menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan persahabatan kedua-dua negara, terutama dengan mempertingkatkan pelaburan dan perdagangan, selain memperluas kerjasama pelbagai bidang berpotensi.

Perkara itu dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu menerima panggilan Presiden Iran, Dr. Masoud Pezeshkian.

“Kami membincangkan mengenai usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Iran, di samping bertukar ucapan Aidilfitri.

“Alhamdulillah, kunjungan Menteri Luar Malaysia ke Tehran pada bulan lalu membawa perkembangan positif dalam hubungan serta kerjasama dua hala Malaysia-Iran,”katanya pada hantaran Facebook.

Anwar berkata, beliau akan memastikan kesinambungan kunjungan ini dengan menyegera dan mempermudah segala usaha untuk mengembangkan kerjasama dalam bidang pelaburan, perdagangan, pendidikan, penyelidikan dan selainnya.

“Saya turut ulangi penghargaan Malaysia terhadap pendirian teguh Iran yang tekal dalam memperjuangkan hak dan keadilan buat rakyat Palestin, serta menentang kezaliman Israel yang tergamak melanggar perjanjian gencatan senjata dan menggagalkan usaha damai.

“Kami percaya solidariti dan kesatuan dalam kalangan negara Islam dan warga dunia adalah cukup penting dalam usaha memastikan keadilan dan keamanan berpanjangan di bumi Gaza,”katanya. – https://amiminerals.org/