PELARI pecut para negara, Eddy Bernard membuktikan kemampuannya sebagai bintang baharu apabila menjelmakan pingat sulung Malaysia di pentas Sukan Paralimpik Paris 2024 selepas meraih gangsa acara 100 meter (m) T44 (kecacatan fizikal) semalam.
Kejayaan Eddy pada aksi final di Stade de France, Saint-Denis itu dengan catatan masa 11.58 saat (s) menjadikannya sebagai permata yang bakal menjadi sandaran kontinjen negara di temasya-temasya besar seterusnya.
Ia sekali gus mengembalikan sinar harapan dalam acara trek yang dahulunya digalas Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi ketika memenangi pingat emas 100m T36 (cerebral palsy) sewaktu edisi Paralimpik Rio 2016.
Sejak itu, kontinjen negara tidak berjaya mengulangi pencapaian hebat berkenaan dalam acara trek selepas Ridzuan yang mesra disapa Dekwan meraih tempat keempat di Tokyo, Jepun tiga tahun lalu dan gagal melayakkan diri untuk edisi kali ini.
“Saya sangat berpuas hati dengan pencapaian larian saya baru-baru ini, terutamanya dengan catatan masa yang diperoleh. Saya berjaya memecahkan rekod peribadi. Sebelum ini, catatan saya hampir sama, mungkin kerana rentak serta momentum yang konsisten,”kata Eddy.
Catatan dilakukan atlet kelahiran Sabah berusia 23 tahun itu turut memecahkan rekod Asia, 11.75s yang dicipta pelari Sri Lanka, Indika Gamage sewaktu Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun pada Mei lalu.
“Saya tidak menjangka dapat mencatat masa ini walaupun sasaran sebenarnya adalah 11.30s. Namun, saya sangat bersyukur dengan pencapaian ini kerana satu langkah besar dalam karier saya,”tambah Eddy.
Pingat emas acara itu dimenangi atlet Afrika Selatan, Mpumelelo Mhlongo dengan masa 11.12s sementara tempat kedua menjadi milik pelari Cuba, Yavel Vives menerusi catatan 11.20s.
Prestasi cemerlang Eddy memberi gambaran besar mengenai potensinya untuk membawa pulang pingat emas pada edisi seterusnya di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 2028.
Tumpuan selepas ini akan beralih kepada Datuk Abdul Latif Romly yang akan memburu hatrik emas dalam acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) pada 8 September ini selain berhasrat memecahkan rekod dunia sejauh 7.64 meter dipegangnya ketika ini.