Makhluk misteri menyerupai Bigfoot dilihat di celah pokok

Geli Bigfoot 1 scaled

MAKHLUK misteri (dalam bulatan) dipercayai ditemui di celah pokok. – Foto CC Composite Editor

WASHINGTON – Satu makhluk misteri dirakam berkeliaran di hutan negeri Colorado, Amerika Syarikat (AS) sekali gus mencetuskan teori bahawa makhluk digelar Bigfoot akhirnya ditemui, lapor laman berita MailOnline semalam.

Sekumpulan kru rakit jeram sedang menyusuri Sungai Colorado pada 24 Mei lalu apabila mereka tiba di darat untuk berehat.

Ketua kru itu, Logan Kirk memberitahu akhbar Daily Mail bahawa dia dan kira-kira 12 yang lain berhenti untuk makan tengah hari apabila mereka melihat makhluk itu pada jarak kira-kira 460 meter. 

Seseorang menjerit bahawa ia ialah seekor beruang, menyebabkan mereka melihatnya.

“Ketika itulah kami menyedari bahawa ia adalah sesuatu yang lain. Ia bukan beruang. Ia berdiri di sana, di lereng bukit.

“Ia pastinya berkaki dua yang sangat menonjol kepada kami,” katanya. 

Video klip tentang makhluk itu telah ditonton berjuta-juta kali di internet. Ia menunjukkan makhluk bertubuh besar yang berbulu berjalan melalui pokok pain. 

Ia berhenti di antara dua pokok, kelihatan merenung terus ke arah kamera sebelum hilang di dalam hutan.

Walaupun ramai netizen teruja dengan idea bahawa Bigfoot mungkin ditemui, sebilangan yang lain percaya bahawa ia sama ada seseorang memakai sut berbulu atau beruang yang berjalan dengan dua kaki. – AGENSI