MAHA 2024 bermula Rabu, sasar tiga juta pengunjung

mat Sabu MAHA

Mohamad (tengah) bercakap pada sidang akhbar selepas media tour persiapan MAHA 2024 di MAEPS, hari ini. – Foto oleh FARIZ RUSADIO

Serdang – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan RM6 bilion nilai memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) dimeterai sepanjang hampir dua minggu Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penganjuran MAHA 2024 yang berlangsung selama 12 hari bermula 11 hingga 22 September itu turut menyasarkan RM40 juta nilai jualan langsung.

“Kami optimis dan bersiap sedia untuk terima tiga juta pengunjung yang disasarkan pada penganjuran kali ini bersempena 100 Tahun MAHA sejak bermula pada 1923.

“Selain itu, kami juga menyasarkan RM600 juta potensi pembiayaan dan padanan perniagaan melalui jangkaan 4,000 permohonan dengan 10 juta capaian media,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Media Tour MAHA 2024 bersama Menteri KPKM di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), di sini, hari ini.

Bertema ‘Harvesting Tomorrow Where Dreams Blossom’, MAHA 2024 mencerminkan aspirasi dan matlamat KPKM untuk menuai kejayaan di masa hadapan dengan usaha dan inovasi yang diterokai pada hari ini.

Mohamad Sabu berkata MAHA 2024 menetapkan lapan fokus utama iaitu Sambutan 100 Tahun MAHA, Pertanian, Kelestarian, Modal Insan MADANI, Teknologi, Agro Pelancongan, MAHA Go Global dan Pelaburan.

“Sehingga kini 16 negara telah mengesahkan penyertaan antaranya Jepun, Thailand, Brunei, Indonesia, China, Rusia, Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah.

“MAHA Go Global bertindak sebagai pemangkin pertumbuhan perniagaan dalam sektor pertanian dan hortikultur, meningkatkan eksport dan menggalakkan inovasi,”katanya.

Dalam pada itu, MAHA 2024 menampilkan beberapa tarikan baharu seperti Magical At Night and Water Show, Kids Attraction, Rhythm of Farmers, Agro Fit, Sunflower Garden dan Floating Market.

“Juga ditampilkan 48 segmen menarik melibatkan aktiviti pameran dan jualan meliputi seluruh ekosistem berkaitan rantaian nilai agromakanan.

“Antaranya, Agro-Tech, Agro-Lifestyle, Agro-Tourism dan Agro-Youth, Agro-Food Padi, Agro-Food Florikultur, Agro-Food Nanas, Agro-Food Sayuran & Herba dan Agro-Food Ternakan,” katanya.

Di samping itu, terdapat juga 13 pavilion negeri yang masing-masing mempunyai reka bentuk unik dengan menampilkan ciri-ciri negeri di Malaysia.

Katanya lagi, pelbagai kemudahan untuk pengunjung telah ditambah baik termasuk pengangkutan untuk ke MAHA 2024.

“Bas perantara secara percuma disediakan kepada pengunjung di beberapa lokasi antaranya di stesen Transit Aliran Masa (MRT) UPM, Putrajaya Wetland, IOI City Putrajaya.

“Turut disediakan 10 unit tram, empat unit trektor dan gerabak, 30 unit bas, kemudahan motosikal bersama penunggang dan buggy.

“Untuk pengunjung orang kelainan upaya (OKU) disediakan parkir laluan masuk di Pintu 1 dan 2, manakala kemudahan asas seperti tandas dan surau, tempat makan dan sebagainya turut disediakan,” tuturnya. – https://amiminerals.org/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *