Lubang besar muncul tengah jalan

lubang benam ragam

Lubang benam muncul di laluan pejalan kaki berhampiran tapak pembinaan rel di Busan semalam. – Pejabat Sasang-gu

SEOUL – Sebuah lubang benam gergasi ditemui berhampiran tapak pembinaan rel di kota raya Busan, Korea Selatan, lapor portal berita Korea JoongAng Daily semalam. 

Lubang besar itu muncul sekitar pukul 4.57 pagi (waktu tempatan) di laluan pejalan kaki dekat kejiranan Hakjang-dong. 

Lubang benam tersebut berukuran 5 meter lebar dan panjang 3 meter serta mempunyai kedalaman 4.5 meter, demikian menurut Agensi Polis Metropolitan Busan.

Lubang itu terbentuk ketika pegawai daerah melaksanakan langkah keselamatan selepas menerima amaran daripada polis.

“Kami menerima panggilan daripada polis dan bergegas ke tempat kejadian dalam masa 15 minit. 

“Jalan itu runtuh secara tiba-tiba ketika kami sedang melaksanakan langkah keselamatan,” kata pegawai daerah. 

Pihak berkuasa menutup empat laluan berhampiran tapak pembinaan dan memasang penghadang. 

“Kerja pembaikan sedang dijalankan. Kedua-dua pegawai bandar raya Busan serta kontraktor akan menjalankan siasatan,” tambahnya. – AGENSI