Luahan Pembaca: Orang Selayang mahu LRT, MRT sendiri

Luahan 2

PENGANGKUTAN awam menjadi nadi utama kepada warga Kuala Lumpur terutamanya untuk pergi bekerja selain melancarkan urusan harian. – GAMBAR HIASAN

SAUDARA PENGARANG,

Sebagai sebuah kawasan pinggir bandar yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, Selayang sepatutnya mempunyai sistem pengangkutan awam yang boleh diharapkan.

Berdasarkan pengalaman saya sendiri, perkhidmatan bas henti-henti menghubungkan Selayang dan pusat bandar raya Kuala Lumpur agak tidak memuaskan dan tidak keterlaluan jika dikatakan semakin merosot tahap perkhidmatannya berbanding 10 tahun lepas.

Sebelum program penyusunan rangkaian bas henti-henti atau Bus Network Revamp (BNR) di ibu kota diperkenalkan pada Disember 2015, syarikat RapidKL telah lama beroperasi di Selayang sebelum laluannya diserah kepada operator lain.

RapidKL kembali mengambil alih laluan 151 Bandar Baru Selayang pada 2023. Tetapi bagi kawasan seperti Bukit Idaman, Selayang Utama, Selayang Jaya dan Intan Baiduri, perkhidmatan bas yang disediakan masih perlu ditambah baik lagi.

Sebagai contoh, trip perjalanan bas hanya sekitar dua kali sehari di sebelah pagi dari Bukit Idaman dan Selayang Jaya ke Kuala Lumpur adalah tidak mencukupi.

Jika penumpang terlepas bas, mahu tidak mahu mereka terpaksa menggunakan perkhidmatan e-hailing atau teksi yang kosnya agak membebankan.

Mujur pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS) ada menyediakan perkhidmatan bas percuma, manakala pihak MRT Corp telah memperkenalkan bas perantara MRT Laluan Putrajaya meskipun jika memilih cara ini masa perjalanan akan jadi lebih panjang.

Buat masa sekarang, Selayang juga masih tidak mempunyai sistem tren seperti sistem transit aliran ringan (LRT) dan sistem transit aliran massa (MRT) sendiri seperti yang dinikmati warga Ampang, Sungai Buloh dan Kajang.

Sistem tren terdekat adalah di stesen komuter Batu Caves dan Stesen MRT di Metro Prima Kepong.

Diharap agar pihak bertanggungjawab dapat memperbaiki tahap perkhidmatan bas di Selayang dari segi kekerapan dan bilangan laluan yang sesuai supaya lebih menyeluruh meliputi lebih banyak kawasan perumahan.

Rakyat Prihatin,
Kuala Lumpur

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *