BINTULU – Jaguh pecut JCL Team UKYO, Matteo Malucelli mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menang peringkat ketujuh saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 selepas menempuh perlumbaan sejauh 199.3 kilometer (km) hari ini.
Pelumba kelahiran Itali itu tiba di garisan penamat dengan catatan masa empat jam 18 minit 3s manakala dua pelumba Tudor Pro Cycling Team, Arvin De Kleijn berada di tempat kedua manakala Maikel Zijlaard melengkapkan kedudukan podium.
Malucelli yang bergelar juara peringkat kedua pada awal minggu ini mendedikasikan kemenangan tersebut kepada mendiang ibunya selain teruja apabila dapat menjuarai satu lagi peringkat sebelum kejohanan bertaraf 2.Pro itu berakhir esok.
“Ini adalah minggu yang sukar kerana mendiang ibu saya meninggal pada lapan tahun lalu dan saya selalu teringat dirinya.
“Apa yang pasti, saya sangat gembira apabila dapat menjuarai perlumbaan yang cukup panjang kali ini terutama pada pecutan 500 meter terakhir.
“Secara jujur, saya puas hati kerana jika kita menang satu peringkat, pelumba itu boleh dianggap bertuah tetapi jika menang dua peringkat maknanya dia cukup hebat,”kata pelumba berusia 31 tahun itu selepas tamat perlumbaan.
Jelajah LTdL kini berbaki satu sahaja peringkat dengan barisan pelumba dijadualkan mengelilingi daerah Bintulu sejauh 147.5km hari ini. – KOSMO ONLINE