Liverpool kekalkan rekod luar biasa

Liverpool 4

SALAH menyempurnakan sepakan penalti untuk menewaskan Girona 1-0 awal pagi semalam. – AFP

GIRONA – Liverpool mengekalkan rekod tanpa kalah di pentas Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini dengan kemenangan 1-0 ke atas Girona di Estadi Montilivi awal pagi semalam hasil sepakan penalti Mohamed Salah pada separuh masa kedua.

Pasukan kendalian Arne Slot itu unggul di puncak kumpulan dengan 18 mata menerusi kemenangan bersih enam perlawanan setakat ini sementara Girona kekal di tangga ke-30 selepas mencatat kekalahan kelima.

Meskipun Girona memberikan tentangan sengit, Liverpool berjaya mendapatkan kemenangan melalui sepakan penalti yang disempurnakan oleh Salah pada minit ke-63 selepas Luis Diaz dijatuhkan dalam kotak penalti.

“Enam kemenangan daripada enam perlawanan, ini pencapaian luar biasa. Ia bukan perkara mudah, jika tidak lebih banyak pasukan sudah melakukannya.

“Kami tidak bermain pada tahap terbaik malam ini tetapi yang penting adalah menang dan memastikan kelayakan,” ujar tonggak pertahanan Liverpool, Andy Robertson.

Bagaimanapun, pertahanan Girona, Alejandro Frances tetap memuji pasukannya meskipun terpaksa akur dengan kekalahan di hadapan penyokong sendiri.

“Kami bersaing dengan seimbang dan mencipta peluang. Kekalahan ini pahit tetapi yang penting adalah keberanian kami untuk memberikan cabaran kepada pasukan besar seperti Liverpool,” katanya.

Sebagai rekod, Liverpool kini dilabel calon utama untuk menjuarai UCL musim ini selain turut cemerlang menerajui carta Liga Perdana Inggeris menerusi kelebihan empat mata ke atas Chelsea di tangga kedua, namun memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan. – AGENSI