MOSCOW – Sekurang-kurangnya empat orang maut termasuk dua kanak-kanak dalam kejadian letupan di sebuah stesen minyak di bandar Grozny, Russia, lapor akhbar The Sun UK.
Kejadian berlaku di Chechnya, wilayah separa autonomi Russia.
Letupan itu terlalu besar sehingga mencetuskan gegaran menyerupai gempa bumi dan menyebabkan sebuah lori tangki terpelanting pada jarak lebih 300 meter.
Seorang pegawai tempatan berkata, kenderaan itu dipercayai merempuh mangsa yang terbunuh semasa kejadian.
“Siasatan awal mendapati lori tangki minyak itu meletup di stesen berkenaan, lantas mengakibatkan kebakaran besar,” tambahnya.
Satu rakaman menunjukkan stesen minyak itu dijilat api sebelum lori tangki tersebut tercampak ke arah sebuah apartmen.
Penduduk tempatan mendakwa bahawa letupan itu sangat kuat sehingga menggegarkan tanah, seolah-olah dilanda gempa bumi.
Polis Russia melancarkan siasatan untuk mengenal pasti sekiranya terdapat unsur khianat dalam insiden itu.
Pemimpin Republik Chechnya, Ramzan Kadyrov berkata: “Setakat ini, kebakaran berjaya dipadamkan. Anggota-anggota penyelamat sedang berusaha mengalihkan runtuhan.” – AGENSI