Lembu sesat \’kebas\’ skuter tepi jalan

geli lembu skuter

Tangkap layar menunjukkan seekor lembu jantan ‘menunggang’ sebuah skuter di sebatang jalan. – X

NEW DELHI – Satu klip video tular di negeri Uttarakhand, India memaparkan seekor lembu jantan sesat cuba menaiki sebuah skuter yang diletakkan di tepi jalan, lapor stesen penyiaran NDTV. 

Kejadian berlaku di bandar Rishikesh baru-baru ini. 

Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik di laman X menunjukkan lembu itu berkeliaran di sebatang jalan sebelum menemui sebuah skuter.

Haiwan itu kemudian mengangkat dan meletakkan kaki depannya di atas tempat duduk, manakala kaki belakang digunakan untuk menolak skuter tersebut. 

Motosikal itu bergerak sejauh beberapa meter sebelum dijatuhkan dan ditinggalkan. 

Rakaman itu mencatatkan lebih 721,700 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi netizen. 

“Macam mana pemilik mahu jelaskan kejadian kepada pihak insurans,” kata seorang netizen.

“Lembu itu buat skuter macam papan selaju,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI