JAKARTA – Seorang lelaki di Makkasar ditahan beberapa jam selepas merempuh seorang pengutip bekas plastik dengan motosikal jenis skuter di Makassar, wilayah Sulawesi Selatan, lapor saluran berita Tribunnews semalam.
Menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), suspek dilihat membawa motosikal jenama Yamaha NMAX sambil bermain telefon bimbit sebelum merempuh mangsa.
Rakaman CCTV juga memaparkan mangsa terjatuh dan terbaring di atas jalan raya dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Suspek kemudian bangun dan bergegas meninggalkan lokasi kejadian.
Kejadian berlaku di Jalan Arif Rate, Kota Makassar pada Selasa lalu.
Menurut pegawai polis tempatan, suspek berjaya ditahan dalam tempoh 12 jam di rumahnya.
“Dia boleh berdepan hukuman penjara maksimum selama 10 tahun jika disabitkan bersalah.
“Mangsa mengalami luka di bahagian kepala, muka, belakang badan dan punggung. Dia masih belum sedarkan diri di Hospital Stella Maris,” katanya. – AGENSI