CANBERRA – Seorang lelaki di Surrey Hills, barat Melbourne meninggal dunia selepas menunggu ambulans selama empat jam untuk membawanya ke hospital, lapor saluran berita News.com.au semalam.
Setiausaha Kesatuan Ambulans negeri Victoria, Danny Hill berkata, mangsa berusia 69 tahun itu dilaporkan terjatuh dan menjerit meminta tolong di rumahnya sekitar pukul 2 pagi (waktu tempatan) kelmarin.
Jiran mangsa yang terdengar jeritan itu segera menghubungi ambulans, namun jumlah kakitangan yang terhad menyebabkan tiada bantuan sehingga pukul 6 pagi (waktu tempatan).
“Bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya paramedik tiba di sana lebih awal,” kata Hill.
Kira-kira 50 kru ambulans berada di luar talian pada malam kejadian disebabkan ramai yang mengambil cuti sakit.
“Hanya terdapat 90 daripada 120 kru biasa yang bekerja syif malam di seluruh negeri Victoria pada malam itu,” tambahnya. – AGENSI