Lelaki mahu pikat kekasih mati dibaham singa

Singa tangkap scaled

GAMBAR fail seekor singa di sebuah zoo. – Foto AFP

TASHKENT, Uzbekistan – Satu rakaman video memaparkan detik seorang pekerja zoo diserang dan dibaham tiga ekor singa selepas masuk ke dalam kandang binatang buas itu untuk menunjukkan kehebatan kepada kekasihnya, lapor portal berita MailOnline semalam.

F. Iriskulov, 44, membuka kunci kandang tempat dia bekerja di sebuah zoo persendirian di Parkent, Uzbekistan pada pukul 5 pagi semasa syifnya untuk merakam klip video. 

Dia juga berulang kali memanggil nama salah seekor singa itu sebelum berkata: “Simba, diam.”

Iriskulov  merakam  klip video untuk dihantar kepada teman wanitanya dengan memaparkan dirinya dikelilingi oleh beberapa ekor singa.

Namun, salah seekor singa  itu menyerang Iriskulov dan rakaman itu menjadi gelap dengan suara jeritannya jelas kedengaran.

Menurut media Russia, haiwan itu mengoyakkan muka mangsa.

Pasukan penyelamat kemudian menembak dua ekor singa dengan ubat penenang, manakala seekor lagi ditembak mati selepas ketiga-tiganya keluar dari kandang. – AGENSI